Perjanjian Lesen Pengguna Akhir (“EULA”) yang berikut membentuk persetujuan antara KAI OS TECHNOLOGIES (HONG KONG) LIMITED, termasuk sekutunya (“kami” atau “KAI”) dan anda, serta mengawal penggunaan Perisian dan Perkhidmatan anda. Sila baca EULA ini dengan teliti. Sila maklum bahawa anda hendaklah mempunyai hak yang sah untuk memasuki perjanjian jenis ini untuk menggunakan Perisian dan Perkhidmatan.

Anda bersetuju dengan EULA ini dengan menggunakan perisian yang dikenali sebagai “KaiOS”, termasuk kemas kini, naik taraf, apa-apa komponen tambahan yang digabungkan, apa-apa perisian (termasuk perisian yang berasaskan Internet), aplikasi, kandungan atau Perkhidmatan yang KAI sediakan menurut EULA ini, dan semua dokumentasi perisian (“Perisian”).

 

Sila maklum bahawa komponen tertentu dalam Perisian kami tersedia sebagai sumber terbuka melalui pelbagai projek (“Perisian Sumber Terbuka”). Walaupun Perisian tertakluk kepada EULA ini, Perisian Sumber Terbuka tersedia di bawah termanya sendiri, tertakluk kepada terma itu anda bebas menggunakan perisian mengikut termanya.

 

Sebagai tambahan kepada Perisian Sumber Terbuka, Perisian boleh merangkumi perisian pihak ketiga lain di bawah lesen yang berasingan (yang, bersama dengan Perisian Sumber Terbuka dirujuk sebagai “Perisian Pihak Ketiga”). Perisian Pihak Ketiga ini tertakluk kepada terma lesen yang berlainan yang mesti anda terima supaya dapat menggunakannya.

 

Dengan menerima EULA ini atau menggunakan Perisian dan/atau Perkhidmatan, anda bersetuju dengan semua terma ini, dan mengizinkan penghantaran maklumat tertentu semasa pengaktifan dan semasa penggunaan anda mengikut Bahagian 2.

  1. SKOP LESEN

Perisian dan apa-apa kandungan yang diakses melalui Perisian adalah dalam bentuk berlesen, bukan dijual. Dengan mempertimbangkan pematuhan anda, EULA ini hanya memberi anda hak untuk menggunakan dan menjalankan satu tika Perisian pada peranti anda yang Perisian ini telah diprapasang padanya. Anda tidak boleh mengedarkan atau menyediakan Perisian melalui rangkaian hingga Perisian itu dapat digunakan oleh berbilang peranti pada masa yang sama. KAI, pembekal dan pemegang lesennya berhak terhadap semua hak yang lain. Kecuali ditetapkan sebaliknya oleh undang-undang yang diterima pakai atau terma pelesenan Perisian Pihak Ketiga, anda boleh menggunakan Perisian hanya seperti yang dibenarkan secara nyata dalam EULA ini. Dengan demikian, anda hendaklah mematuhi apa-apa had teknikal dalam Perisian yang hanya membenarkan anda untuk menggunakannya dengan cara yang tertentu. Anda tidak boleh:

  • membuat pendua, mengedarkan atau mengubah suai Perisian atau menerbitkan Perisian;
  • meminda apa-apa pemeriksaan pengesahan atau had teknikal dalam Perisian;
  • Menggunakan Perisian untuk apa-apa tujuan yang menyalahi undang-undang, palsu atau tanpa kebenaran;
  • Menghantar apa-apa cecacing atau virus, atau apa-apa kod yang bersifat pemusnah;
  • Memberikan maklumat yang palsu atau mengelirukan kepada kami;
  • Mengumpulkan daripada mana-mana pihak ketiga apa-apa data peribadi atau maklumat yang dapat mengenal pasti diri secara peribadi yang melanggar apa-apa perlindungan data dan/atau undang-undang privasi;
  • melakukan kejuruteraan undur, menyahsusun atau menyahhimpun Perisian, kecuali dan hanya setakat yang dibenarkan secara nyata oleh undang-undang yang diterima pakai, walaupun dikenakan pengehadan ini; atau
  • memindahkan Perisian atau EULA ini kepada mana-mana pihak ketiga kecuali bersama dengan peranti yang mengandungi Perisian.

Jika kami, atas budi bicara yang munasabah, menganggap bahawa anda melanggar apa-apa undang-undang, terma lesen atau EULA ini, kami berhak untuk, sebagai tambahan kepada apa-apa remedi yang tersedia, menggantung akses anda kepada Perisian dan Perkhidmatan.

  1. PRIVASI; KEIZINAN MENGGUNAKAN DATA

Sesetengah Perisian dan Perkhidmatan boleh menghantar atau menerima maklumat apabila diaktifkan atau digunakan. Dengan menerima EULA ini dan menggunakan Perisian dan/atau Perkhidmatan, anda bersetuju bahawa kami boleh mengumpulkan, menggunakan dan mendedahkan maklumat seperti yang diterangkan dalam Dasar Privasi KaiOS.

  1. SEKATAN EKSPORT

Perisian mungkin tertakluk kepada undang-undang dan peraturan kawalan eksport Amerika Syarikat atau negara-negara lain yang mungkin menyekat atau melarang pengeksportan, pengeksportan semula atau pemindahan Perisian. Anda hendaklah mematuhi semua undang-undang dan peraturan eksport dan eksport semula yang diterima pakai. Untuk mendapatkan maklumat tambahan atau mengajukan pertanyaan, sila hubungi khidmat pelanggan kami.

  1. KESELURUHAN PERJANJIAN

EULA ini, Dasar Privasi KaiOS dan terma yang mengiringi apa-apa kemas kini Perisian, naik taraf dan Perkhidmatan yang anda gunakan, merupakan keseluruhan perjanjian untuk Perisian.

Oleh sebab kami sentiasa membangunkan Perisian kami, kami perlu berhak, pada bila-bila masa dan atas budi bicara kami semata-mata, untuk mengubah terma EULA ini. Apabila kami melakukan sedemikian, kami akan menggunakan usaha yang munasabah untuk memaklumkan anda tentang perkara yang telah kami lakukan.

  1. UNDANG-UNDANG YANG DITERIMA PAKAI

Sekiranya timbul pertikaian antara anda dan kami, sila hantar e-mel kepada khidmat pelanggan kami supaya kami dapat cuba menyelesaikannya dengan segera.

EULA ini dikawal oleh undang-undang Hong Kong tanpa merujuk kepada konflik undang-undang atau pilihan prinsip undang-undangnya. Jika anda memperoleh Perisian di Amerika Syarikat, undang-undang negeri di tempat anda menetap mengawal semua tuntutan lain, termasuk tuntutan di bawah undang-undang perlindungan pengguna negeri, undang-undang persaingan yang tidak saksama, dan dalam tort.

Mana-mana terjemahan EULA ini dilakukan untuk keperluan tempatan dan sekiranya berlaku pertikaian antara versi bahasa Inggeris dan mana-mana versi bukan bahasa Inggeris, versi EULA ini dalam bahasa Inggeris akan mengawal, setakat yang tidak dilarang oleh undang-undang tempatan dalam bidang kuasa anda.

Jika atas sebab tertentu, mahkamah dengan bidang kuasa yang kompeten mendapati apa-apa peruntukan, atau bahagian daripadanya, sebagai tidak boleh dikuatkuasakan, bahagian lain dalam EULA ini akan terus berkuat kuasa sepenuhnya.

  1. PENOLAKAN TUNTUTAN WARANTI

Perisian dan Perkhidmatan diberikan lesen seperti adanya.Anda menanggung risiko penggunaannya. KAI tidak memberikan waranti, jaminan atau syarat yang nyata. Anda mungkin mempunyai hak pengguna tambahan di bawah undang-undang tempatan anda yang tidak dapat dipinda oleh EULA ini. Sehingga takat yang dibenarkan di bawah undang-undang tempatan anda, KAI tidak memasukkan waranti kebolehdagangan yang tersirat dan kesesuaian untuk tujuan tertentu.

  1. PENGEHADAN DAN PENGECUALIAN BAGI REMEDI DAN GANTI RUGI

Anda boleh mendapatkan semula daripada KAI hanya ganti rugi langsung sehingga harga yang anda bayar untuk Perisian. Setakat yang dibenarkan di bawah undang-undang tempatan anda, anda tidak boleh mendapatkan semula ganti rugi lain, termasuk kerosakan lanjutan, kehilangan keuntungan, kerosakan tidak langsung atau sampingan.

  1. Penggunaan Perkhidmatan Berasaskan Internet

 

KAI menyediakan perkhidmatan berasaskan Internet dengan Perisian (“Perkhidmatan”). Perkhidmatan boleh mengandungi e-mel, jam, kumpulan berita, forum, komuniti, halaman web peribadi, kalendar, album foto, kabinet awan, pasaran dan/atau kemudahan mesej atau komunikasi lain yang direka bentuk untuk membolehkan anda berkomunikasi dengan orang lain. Apabila menggunakan Perkhidmatan sedemikian, anda bersetuju untuk mematuhi undang-undang yang diterima pakai, EULA ini dan secara beradab. Anda bersetuju untuk menggunakan semua Perkhidmatan sedemikian hanya untuk tujuan peribadi dan bukan komersial anda serta hanya untuk menyerahkan dan menerima mesej dan bahan yang wajar dan berkaitan dengan Perkhidmatan yang tertentu serta hanya setelah anda mendapatkan apa-apa keizinan yang diperlukan, kebenaran atau lesen yang mungkin diperlukan secara sah untuk anda menyerahkan bahan sedemikian. Anda menerima tanggungjawab untuk akibat yang berkaitan dengan bahan yang anda serahkan. Sebagai contoh, dan bukan sebagai had, anda bersetuju bahawa anda tidak akan menggunakan Perkhidmatan untuk menyiarkan, mengirimkan, memuatnaikkan, mengedarkan atau menyebarkan apa-apa e-mel tidak wajar, sarap, menghantar spam atau apa-apa bahan atau maklumat yang memfitnah, disalahgunakan, menyalahi undang-undang yang boleh memudaratkan atau merosakkan Perkhidmatan atau operasi peranti/harta pihak lain atau sebaliknya melanggar hak undang-undang (misalnya hak privasi dan publisiti) orang lain. Tambahan pula, anda bersetuju tidak akan menggunakan apa-apa sistem atau kaedah berautomatik untuk mengakses, mendapatkan, menyalin atau memantau apa-apa bahagian dalam Perkhidmatan.

KAI tidak memikul kewajipan untuk memantau Perkhidmatan. Walau bagaimanapun, KAI berhak untuk memantau atau mengawal Perkhidmatan, menyemak bahan yang dikirim ke Perkhidmatan dan mengeluarkan apa-apa bahan atas budi bicaranya semata-mata. KAI berhak untuk menamatkan atau mengehadkan akses anda kepada apa-apa atau semua Perkhidmatan pada bila-bila masa tanpa notis atas apa-apa sebab.

KAI berhak untuk mendedahkan apa-apa maklumat yang dianggap perlu oleh KAI supaya mematuhi apa-apa undang-undang yang diterima pakai, peraturan, prosiding undang-undang atau permintaan kerajaan, atau untuk menyekat, menafikan atau mengirim atau untuk mengeluarkan apa-apa maklumat atau bahan, secara keseluruhan atau sebahagian, atas budi bicara KAI semata-mata.